Tuesday, July 1, 2008

Biodiesel (Bahasa Melayu)

Industri biodiesel telah berkembang dengan agak baik sejak kebelakangan ini. Di Eropah, industri biodiesel telah menyaksikan pertumbuhan yang pesat sehingga membawa kepada penubuhan European Biodiesel Board.

Pengeluaran Biodiesel di Eropah pada tahun 2006 sahaja telah mencatatkan pertumbuhan sebanyak 54% kepada 4.8 juta tan metriks.

Malaysia turut sama berusaha memajukan industri ini dengan sokongan yang penuh telah diberikan oleh kerajaan. Malaysia juga beruntung kerana sebagai pengeluar utama minyak sawit dunia, usaha mendapatkan sumber bagi penghasilan Biodiesel bukanlah sesuatu yang sukar. Ini ditambah dengan faktor-faktor sokongan seperti prasarana, logistik, upah buruh yang murah serta keselamatan.

Penggunaan Biodiesel telah terbukti dapat membantu mengurangkan pencemaran daripada pelepasan asap kenderaan ketika dunia sedang berdepan dengan isu pemanasan global. Selain daripada itu, Biodiesel telah menjadi satu sumber bahan bakar alternatif ketika dunia berdepan kenaikan berterusan harga petroleum yang semua yakin puncanya ialah sumber yang semakin susut dan berkurangan.

Faktor tersebut iaitu kenaikan harga petroleum, kekurangan sumber petroleum dan juga mesra alam telah menjadi pemangkin utama ke arah kemajuan industri Biodiesel, sama ada di Malaysia mahu pun pada peringkat global.

Namun begitu ada beberapa perkara yang turut perlu diberikan perhatian dalam memperkatakan mengenai industry Biodiesel ini. Ramai yang turut sama menyentuh mengenai aspek kemanusiaan kerana untuk memajukan industri ini, kita seperti terpaksa mengorbankan satu aspek lain iaitu kemanusiaan.

Biodiesel ialah campuran diesel berasaskan petroleum yang kita miliki pada hari ini dengan minyak yang berasaskan tumbuhan seperti sawit dan soya. Kedua-duanya pula melibatkan industri pemakanan. Apabila semua pihak bertumpu kepada pengeluaran Biodiesel maka sawit dan soya akan menjadi aset utama bahan bakar dan bukan lagi bahan makanan.

Begitu juga daripada sudut harga. Ketika ini harga minyak sawit berada pada paras RM3500 per tan metriks manakala harga crude mineral oil pula sudah pun mencecah USD125. Kedua-duanya berada pada paras yang tinggi. Jadi dimanakah pula margin keuntungan pengeluaran Biodiesel pada hari dan apa pula faedahnya kepada pengguna jika dibandingkan dengan harga bahan bakar pada hari ini?

Mereka yang bakal mengaut keuntungan ialah negara pengeluar minyak sawit seperti Malaysia tetapi dalam masa yang sama langkah berkesan perlu diambil bagi memastikan tidak berlaku kesusutan dalam pengeluaran minyak sawit untuk kegunaan industri pemakanan. Jika ini berlaku, pengguna akan menderita dan Biodiesel hanya akan diingati sebagai satu bahan bakar alternatif yang mesra alam sahaja.